Wednesday, January 19, 2011

Jom Bersenam

1. Bangun dari tidur 30 minit lebih awal, tarik nafas sedalam-dalamnya. Rasai nikmat anugerah Tuhan di sekeliling anda. Jalanlah di persekitaran rumah anda untuk menikmati udara pagi dengan penuh ketenangan. Di samping itu anda boleh melakukan sedikit aktiviti regangan.

2. Kereta anda kotor? Jangan terus membawanya ke kedai, bersihkan sendiri kereta anda. Ini bukan sahaja menyihatkan badan malah mampu menjimatkan wang.

3. Jika anda tinggal di kondominium atau pangsapuri, sudah tentunya anda menggunakan lif untuk sampai ke rumah anda. Apa kata anda mengubah situasi ini. Gunakan tangga. Anda tidak semestinya naik menggunakan tangga sepenuhnya tetapi anda boleh menaiki lif separuh perjalanan sahaja. Ini merupakan senaman yang baik untuk jantung, membakar kalori dan membina otot.

4. Letakkan kereta di tempat agak jauh daripada tempat yang ingin ditujui. Ini akan menyebabkan anda berjalan untuk sampai ke destinasi tersebut. Dengan cara ini, anda telah melakukan sedikit senaman.

5. Jangan hanya duduk sepanjang masa di pejabat. Anda boleh berjalan di sekeliling bangunan tempat kerja anda ketika waktu makan tengah hari atau masa rehat. Ini akan membantu bakar kalori berbanding jika anda duduk menikmati snek semata-mata.

6. Ketika berada di rumah, bermainlah sepuas-puasnya dengan anak anda atau pun binatang peliharaan anda. Ini juga merupakan salah satu cara untuk mengeluarkan peluh.

7. Sebelum dan selepas maka, dukunglah bayi anda, jangan guna “stroller”. Ini bukan sahaja dapat membantu membakar kalori anda, malah ia juga akan merapatkan kasih sayang anda dengannya.

8. Anda juga boleh melakukan aktiviti berkebun di rumah anda. Tanamlah pokok bunga yang anda sukai. Ataupun, anda boleh juga menanam sayur-sayuran, ulam-ulaman atau buah-buahan. Anda bukan sahaja dapat memakan hasil tersebut, malah anda juga akan menjadi semakin sihat

9. Berbasikal jika ingin pergi ke rumah rakan anda (untuk kawasan yang berhampiran rumah anda). Anda bukan sahaja dapat menikmati udara segar di sekeliling, malah dapat mengeluarkan peluh. Lakukan aktiviti ini pada waktu petang. Tentu menarik, bukan?

10.Semasa menonton tv, anda tidak semestinya terpaku di kaca tv sahaja sambil menikmati makanan ringan. Harus diingat, makanan ringan akan meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit. Sebaliknya, anda boleh melakukan kerja rumah seperti menyapu sampah, mencuci lantai atau mencuci perabut di rumah anda.

11.Amalan membersih tingkap, permaidani, ruang tamu dan sebagainya juga membantu membakar kalori anda. Oleh itu, lakukan amalan ini setiap hari.

12.Anda juga boleh memasak sendiri di rumah. Untuk mengadun doh roti misalnya, lakukan sendiri dengan menggunakan tangan, jangan menggunakan alat pengadun. Anda bukan sahaja menyediakan makanan yang bersih dan sihat untuk keluarga anda, malah rasa makanan tentunya lebih mengikut citarasa dan selera anda. Tentunya anda akan berpuas hati apabila mendapat pujian daripada ahli keluarga kelak.

13.Rancang aktiviti hari minggu anda bersama keluarga. Tidak semestinya pergi ke pantai atau keluar berjalan-jalan, sebaliknya anda boleh lakukan sesuatu di rumah misalnya membersihkan kawasan rumah bersama-sama ahli keluarga anda. Tentunya amat seronok bersama-sama melakukan aktiviti ini, di samping itu tekankan pentingnya menjaga kebersihan kepada anak-anak. Ini sudah pasti akan mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga anda.

14.Jika anda memiliki alat senaman di rumah, jangan berlengah lagi. Anda boleh membaca bacaan ringan di samping melakukan senaman dengan menggunakan alat senaman ini. In tentunya menjadikan anda lebih tenang.

No comments:

Post a Comment