Di Antara saat suka, gembira dan seronok seorang ibu adalah ketika-ketika berikut:
1. Mengetahui diri telah mengandung, yang bererti tidak lama lagi kita akan menjadi seorang ibu, dan seterusnya begitu teruja untuk mengetahui dan mengalami perkembangan bayi dalam kandungan. `Mum to be' tentulah seronok `shopping' keperluan bayi seperti pakaian bayi, tempat tidur bayi dan lain-lain persiapan untuk menyambut kelahiran bayi.
2. Ketika bayi lahir tidak terkira rasa syukur dan gembiranya melihat bayi yang comel dan mongel, hilang rasa sakit yang dialami beberapa jam sebelumnya ketika bertarung nyawa dalam proses labor. Begitulah rahmat Allah kepada hambanya yang sabar menghadapi kesakitan semasa proses mengandung dan bersalin. Seterusnya ibu merasa seronok mengikuti perkembangan bayi dari satu peringkat ke satu peringkat, dari pada hanya tahu menangis ketika lapar atau sakit sehinggalah menjadi kana-kanak yang dapat menguasai kemahiran-kemahiran tertentu mengikut sunnatullah, seperti meniarap, merangkak, duduk sendiri, pandai berjalan, memanjat, berlari, bercakap dan seterusnya bersedia untuk memulakan alam persekolahan.
di alam persekolahan anak-anak, ibu-ibu gembira, seronok, bangga dengan pencapaian dan kejayaan mereka di sekolah baik dalam bidang akademik maupun dalam bidang ko-kurikulum seperti sukan, permainan dan persatuan. Terdapat ibu-ibu yang begitu teruja sekali agar anak-anak mendapat pencapaian cemerlang, dihantar anak-anak ke kelas tution, ditambah lagi dengan latih tubi dari pelbagai buku latihan sehingga anak-anak tidak berkesempatan menikmati keriangan zaman kanak-kanak. Ibu-ibu seronok menceritakan hal kejayaan anak-anak kepada rakan-rakan, walau pun mereka mungkin tidak berminat nak tahu kerana ada ramai lagi anak-anak orang lain yang lebih berjaya. Saat kegembiraan ibu atas kejayaan anak berlaku pada beberapa, iaitu: berjaya dalam UPSR, dapat masuk ke sekolah berasrama penuh, berjaya cemerlang dalam PMR dan SPM, berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, lebih-lebih lagi di luar negara. Namun, saat yang paling menggembirakan dalam sejarah persekolahan anak adalah pada hari graduation apabila anak diistiharkan sebagai graduan dalam bidang tertentu dan berjaya mendapat segulung ijazah sarjana muda dengan kepujian.
3. Setelah tamat dari alam persekolahan, anak bersedia untuk menempuh alam pekerjaan. Ibu merasa sungguh gembira apabila diberi tahu oleh anaknya yang ia telah berjaya melepasi temuduga untuk jawatan tertentu di organisasi tertentu. Pada saat ini ibu terasa seolah-olah ringan tanggungan dan terlepas satu bebanan kerana anak sudah boleh menyara diri sendiri. Kalau selama ini ibu yang mengawal kehendak anak-anak, tidak bebas berbelanja dan perlu meminta-minta daripada ibu, kini dengan pendapatan sendiri dari hasil titik peluhnya sendiri, dia bebas memilih dan berbelanja untuk keperluan dirinya.
4. Berikutnya, Saat gembira seorang ibu adalah ketika diberitahu oleh anak yang dia telah ada pilihan pasangan dan bersedia untuk mendirikan rumah tangga. Kemuncak kegembiraan ibu adalah pada hari perkahwinan anaknya. Sebelum itu tentunya ibu merasa seronok menyediakan segala persiapan bermula dari majlis pertunangan, diikuti dengan majlis pernikahan dan seterusnya majlis walimah sebagai peristiharan perkahwinan anaknya kepada saudara mara, jiran tetangga, sahabat handai, rakan-rakan sekerja dan rakan-rakan yang dikenali. Ibu bapa tidak loket mengeluarkan belanja untuk tujuan tersebut, tetapi tidaklah berlebihan sehingga menyebabkan pembaziran. Yang pasti, majlis mestilah bersesuaian dengan kemampuan dan diadakan semeriah mungkin supaya anak tidak merasa diabaikan disaat mereka ingin menikmati kebahagiaan alam berumah tangga.
5. Setelah anak-anak berumah tangga, apa lagilah saat yang menggembirakan hati ibu kalau tidak dengan kelahiran cucu-cucunya. Alhamdulillah, ibu masih diberi kesempatan dan kekuatan oleh Allah merasai kebahgiaan dengan turut sama menjaga, mengawasi, dan mengikut perkembangan cucu-cucunya.
Perbanyakkan Bersyukur
Begitulah di antara saat suka, gembira dan bangga seorang ibu terhadap anak-anaknya di sepanjang kehidupannya. Setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah yang melimpahkan rahmatNya ke atas hambanya yang kerdil ini. Momen-momen tersebut menimbulkan rasa bahgia pada hati ibu, tidaklah membawa kepada rasa ria yang boleh menyebabkan seseorang ingkar (kufur) kepada rahmat Allah. Allah melarang kita dari kufur akan nikmatNya, sebaliknya menyuruh kita sentiasa bersyukur atas segala nikamt yang dikurniakan kepada kita.
Bersyukurlah dengan berdoa: "Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayah untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, pada hal kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufikNya)." (Surah Al-Araf, 7 : 43)
Allah berfirman yang maksudnya: `Oleh itu, ingatlah kamu kepada Ku (dengan mematuhi syariaat Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada Ku dan jangan kamu kufur (akan nikmat Ku).' (Surah Al- Baqarah, 2 : 152 )
Terdapat banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang menyuruh kita bersyukur atas nikmat kurniaanNya yang tidak terhingga itu.
No comments:
Post a Comment